Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersekongkol dengan pembangkang dan memburuk-burukkan calon Barisan Nasional (BN) amat dikesali.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selaku individu yang pernah berada dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN), tindakan Dr. Mahathir dilihat tidak menepati kepimpinannya sebelum ini yang mengajar ketaatan serta kecintaan kepada pemimpin dan parti.
“Kita (BN) sedih kerana beliau (Dr. Mahathir) adalah bekas Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri.
“Tapi beliau sanggup memburuk-burukkan calon BN dan berhasrat mengalahkan calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) khususnya di Parlimen Sungai Besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.